Sunday, February 28, 2010

Tuesday, February 2, 2010

Respons Untuk Melayu Tersepit


ORANG MELAYU MAKIN TERSEPIT



Salam brader Aziz

Apa yang saya nampak di Kenya sama dengan Malaysia. Betullah tu. Baca catatan Pelangi Nairobi fahamlah sindiran sosial RAR (http://skot22.blogspot.com). Ekonomi Kenya dipegang pendatang yang mempunyai pasport British. Ekonomi Malaysia? Saya bukan racist. Ada mata pandang. Semua askar dah posting satu Malaysia.

Rakyat Palestin tersepit di Gaza. Ramallah. Rakyat Malaysia? emmmmmmmmmmmmmmm. ..aduhai. ..... brader Aziz nampak Melayunya... .....

Nampak ke papan tanda parti politik yang bersepah di mana2 di Malaysia. Parti politik apa? Apa papan tanda boleh buat di kawasan stengan? Papan tanda boleh tolong mereka?

Kita tidak boleh bergantung dengan papan tanda. It doesn't mean anything.

Br Aziz gelisah?

Marilah kita menjamu mata dengan papan tanda Mydin. 7 Eleven siapa punya? Giant siapa punya? Sogo siapa punya?

Tak kan kita hanya boleh berniaga di pasar malam saja? Jawapannya diberi oleh Br Aziz. Nak sewa premis di kotaraya Kuala Lumpur mahal. Mana nak cari RM50,000 sebulan untuk sewa di premis KLCC? Cukuplah jual karipap dan apam balik di pasar malam.

Allah yang menyempitkan kehidupan kita. Sebab kita lupa Allah. Kalau sayang Allah apa tandanya? Setakat demonstrasi untuk mempertahanakan nama 'ALLAH" tak cukup. Bakar gereja ALLAH tak suruh.

Syariat Allah itu yang sewajarnya disohorkan. Dilaksanakan.

Muhamamd Assad penulis Yahudi mengarang ISLAM AT THE CROSSRAODS pada 1934. Tulisannya masih relevan hingga hari ini.

Nampaknya kerisauan br Aziz sama dengan kerisauan Dr. Mahathir Muhamad dengan MALAY DILEMAnya. Dr.Mahathir tulis semua kegelisahan Melayu. Buku itu diharamkan Almarhun Tengku Abdul Rahman. Apa yang ditulisnya itu ada betulnya. Apakah MALAY DILEMMA menyedarkan orang Melayu? Buatlah analisis sendiri.

Anak saya bicara ketuhanan dengan saya. ' Abah apa yang berlaku di dunia ini semuanya adalah perancangan Allah. Semuanya ternakal di Luh Mahfuz.'

Kenyataan itu benar. Itu akidah. Rob. Allah itu Rob. Allah yang mentadbir alam ini. Allah yang menjadikan langit dan bumi.

Sejarah singkat kita tercatat 1409 dengan penemuan Melaka oleh Parameswara yang Hindu yang menjadi Islam. Intrig dan konflik Melayu ada dalam SEJARAH MELAYU.

Br Aziz terlupa untuk bicara sikap Melayu.

Arab yang jahiliyah itu bertukar menjadi cantik kerana kedatangan Rasulullah s.a.w.
Akhlak mereka berubah setelah kedatangan Islam.

Br Aziz cerita bab under table. Rasuah sudah lama membara. Itulah yang terjadi apabila jauh daripada agama. Agama cuma tercatat di perlembagaan. Ternyata perlembagaan tidak boleh menjaga iman.

Iman itu menghilangkan kegelisahan dan melenyapkan dukacita. Iman itu adalah kekasih orang-orang yang beriman dan kesenangan orang-orang yang beribadah. Itu kata-kata Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni pengarang buku LA TAHZAN (Jangan Berduka).

Ingatlah mengingati Allah dapat menenangkan hati dan menghindarkan diri daripada berbuat dosa. Allah Yang Maha mengetahui yang ghaib menyukai orang-orang yang berzikir, dan zikir itu melepaskan seseorang daripada mara bahaya.

Orang Melayu Makin Tersepit. Bukan orang Melayu sahaja tersepit. Orang Palestin juga tersepit.


Teringat kata-kata Pak Pandir kepada mak Andeh. Bukan anak kita saja yang mati Mak Andeh, anak orang lain mati juga. Pak Pandir nampak ada budak mati di tengah jalan dalam perjalanan pulang dari tanah perkuburan. Dia tidak sedar dia hanya menanam tikar mengkuang sebab anaknya tercicir di tengah jalan. Mayat yang dijumpai itu adalah anaknya sendiri.

Pak kadok menang sorak kampung tergadai. Ayamnya menang. Tetapi ayamnya telah ditukar kepada orang lain. Memang ayamnya menang. Tetapi ia bukan haknya lagi. Pak Kadok punya seronok dia bersorak. Pak Kadok memakai baju kertas. Habis berserabai bajunya justeru kegembiraan yang teramat sangat. Dia tak perasan dia memakai baju kertas. Orang kampung bersorak juga. Melihat Pak Kadok telanjang.

Br Aziz

Bagimana untuk mengembalikan kegemilangan Melayu?

Kembali kepada Islam. Kembali kepada Al-Quran dan Assunah.

"Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengannya, Kitab Alllah dan Sunnah Rasulullah." Itu hadis Nabi.

Perjalanan akhirnya akan sampai ke hujungnya.

"Melayu tidak akan hilang di dunia." Itu kata-kata Hang Tuah. (Kalau manusia itu benar-benar wujud atau hanya mitos.)

Tidak Br Aziz. Itu hanya ungkapan retorik.

Melayu akan hilang sebagaimana kaum Aad dan Thamud telah hilang ditelan bumi. Rukun Iman mengatakan dunia akan kiamat. Itu wajib dipercayai. Melayu akan hilang bersama Arab, Turki, Boyan, Iban, Kadazan apabila malaikat Israfil meniup sangkakala. (Teringat blog Sangkala br AFATS). Ini bab akidah.

Br Aziz

Mungkin ada yang teruja dengan skim cepat kaya. Kutu rakyat. Program Taawun. Click mouse dapat berjuta-juta lemon. Hai......tak kan NAK JADI MAT JENIN KINI DAN SELAMANYA? Teringat Br Zul Linggi sebut manusia yang bernama BIN JENIN. BUKAN BIN LADEN. aduhai...... .

Selamat menghirup teh tarik dan meratah roti canai di kedai mamak....... (ISLAM TAK APA).


RAR

Monday, February 1, 2010

DI MANA KETUANAN MELAYU


[brader] DIMANA KETUANAN MELAYU
...
Mon, February 1, 2010 1:07:37 PM
From:
aziz din


Salam semua,

Satu lagi pandangan yang patut dikongsi bersama

Setelah berakhirnya episod ketuanan Melayu bertukar ke era Malaysia,
apa yang tinggal kini hanya 1Malaysia. Konsep persepakatan di segi
ideologi kepelbagaian kaum pribumi dan budaya agar seiring menerokai
segenap peluang sosio-ekonomi memacu ke tahap negara makmur dan rakyat
gemilang terus giat dipromosikan. Rakyat didahulukan dan pencapaian
diutamakan! Sayugianya slogan dan kata-kata keramat saling
bertukar-ganti apabila ketua kerajaan bertukar tangan. Peranan NGO dan
kuasa eksekutif dalam mencorak-warnakan negara bersimpang-siur dengan
kemelut politik dan ekonomi yang kini menjadi isu semasa dan
berlanjutan sehingga ke PRU era Dato' Sri Najib pula? Lumrahnya setiap
makhluk dilahirkan berbeza cita-rasa dan punyai impian tersendiri.

Pergolakan yang bermula daripada harga komoditi yang kian naik terasa
cengkamannya oleh golongan marhaen, dan isu royalti petroleum hingga
kepada nama Allah! Perbalahan mengenai isu PPMSI dan kecoh pasal SPRM
yang juga termasuk kes KEHILANGAN ENJIN JET menjadi topik perbualan di
kalangan rakyat yang prihatin! Tiada apa lagi yang ingin diterjemahan
melalui tindakan.

Persoalannya ialah semangat kemerdekaan semakin pupus dari dalam diri
orang Melayu sendiri, tetapi yang ironinya golongan majoriti ini
jugalah 'juara berkokok' bila menyentuh apa jua isu-isu hangat: hanya
sekadar menarik perhatian umum? Memang ada rasa kesedaran yang menebal
namun segala titik-tolak tindakan yang menyusul langsung tidak
berkesan. Bayangkan, jika sekadar ingin mendapat permit berdemonstrasi
secara aman pun belum tentu lagi mendapat layanan! Bantahan terhadap
pemansuhan ISA sudah jadi isu basi dan semakin dilupai 'roh'
perjuangannya.

Rakyat secara umumnya hanya menjadi 'saksi' dan setiap pertikaian
berbangkit terhadap permasalahan negara bergantung di atas kebijaksaan
peneraju kepimpinan negara. Bahawa kepercayaan dan rasa hormat sesama
manusia sejagat sudah semakin pupus lantaran sifat ego dan
hipokrit...di antara kalangan pemimpin dan rakyat: kini menjalar pula
kepada perebutan kuasa oleh pemimpin politik sendiri demi
memperjuangkan demokrasi? Kegiatan rasuah dan keruntuhan moral
golongan masyarakat mulai lapisan terbawah hinggalah kepada golongan
elit dan pemimpin politik tetap menjadi 'mimpi ngeri' yang mencabar
kestabilan politik dan keselamatan negara?

Apakah sebenarnya yang diperjuangkan oleh orang Melayu (beragama
Islam) yang mempunyai raja berpelembagaan dan para mufti di setiap
negeri? Mungkinkah rakyat Malaysia kini cukup puas berada di dalam
comfort zone? Maka tak perlu lagi berjuang terhadap keadilan demi
kemerdekaan 1Malaysia? Di dalam situasi bila mana negara sudah aman
makmur dan ekonomi stabil , maka kita menikmatinya memadai dengan
berpeluk tubuh sahaja? Sedang bangsa lain terus bergerak maju ke
hadapan, demi maruah keluarga, ke arah menjamin generasi mereka agar
cemerlang di segenap bidang.

Kita semua masih belum terlambat untuk melakukan perubahan setakat
yang termampu sebagai bangsa yang bermaruah.

Wassalam.